Gambar : Sumber Google
Assalamualaikum dan selamat petang. Alhamdulillah,masih diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk menyampaikan serba sedikit pengenalan Kisah 25 Orang Pahlawan Islam Terbilang yang berlaku baik ketika di zaman Rasulullah s.a.w dan juga yang berlaku di zaman kini. Kisah ini saya ambil dari sebuah buku yang ditulis oleh tuan Shafie Abdul Rahman dan buku yang saya maksudkan adalah seperti di bawah ini:
Sebab utama yang membuatkan saya tertarik dengan buku ini ialah melalui teknik penceritaan serta gaya bahasa yang digunakan oleh penulis itu sendiri. Begitu mudah difahami dan sesuai untuk dibaca oleh setiap peringkat usia. Kita sedia maklum bahawa nama yang digunakan ketika zaman Rasulullah agak panjang dan sukar untuk diingati. Bukan setakat nama sahaja,bahkan tahun berlakunya sesuatu peristiwa itu juga sukar untuk dihafal di minda kita jua. Memandangkan buku ini menggunakan teknik penceritaan yang santai,maka para pembaca juga tidak akan berasa tertekan untuk mengulangi pembacaan serta akan cuba sedaya upaya untuk memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis biarpun terpaksa mengulang lebih daripada tiga kali. MasyaAllah!
Sinopsis oleh tuan Shafie Abdul Rahman dalam bukunya:
Sejak Islam diutus melalui Nabi Muhammad s.a.w,bukan sedikit lahirnya pejuang dan pahlawan-pahlawan Islam yang sanggup mengorbankan diri mereka demi mempertahankan kesucian agama Islam. Mereka meletakkan kepentingan agama melebihi daripada segala kepentingan diri,demi menegakkan Allah s.w.t.di muka bumi ini. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w,baginda telah berjaya mendidik para sahabat yang menjadi generasi Al-Quran,yang sanggup berkorban nyawa demi melindungi Rasulullah s.a.w,agama Islam dan orang-orang Islam ketika itu. Maka lahirlah para pejuang terulung seperti Sayidina Hamzah,Mus'ab bin Umair,Abu Ubaidah Al-Jarrah,Khalid Al-Walid,Saad bin Abi Waqqas,Jaafar bin Abi Talib dan ramai lagi.
Perlulah diingat bahawa kisah-kisah kepahlawanan ini tidak seharusnya dijadikan sebagai satu catatan sejarah yang kemudian hilang atau dilupai dengan peredaran masa. Kisah-kisah pahlawan terkemuka dalam sejarah dunia Islam ini sewajarnya kita hidupkan terus dalam diri kita terutamanya dalam perjuangan kita menjalani kehidupan sebagai Muslim sejati,mengamalkan Islam sebagai satu ad-din dan nizamul hayat. Elakkan diri daripada mencontohi mereka yang di luar lingkungan dunia Islam kerana pahlawan-pahlawan Islam ini telah berjaya mencorakkan dunia Islam dengan darah mereka yang harum mewangi,bak burung-burung yang bebas berterbangan di syurga.
Semoga paparan suka duka perjuangan pahlawan Islam yang dipaparkan di dalam buku ini dapat dijadikan pedoman. Seterusnya sama-samalah kita menghayati dan cuba menjadikan mereka sebagai ikon generasi muda umat Islam kini dalam mempertahankan kesucian agama Islam. InsyaAllah.
Senarai nama 25 Pahlawan Islam yang diceritakan di dalam buku di atas ialah:
1) Sayidina Hamzah bin Abdul Mutalib
2) Mus'ab bin Umair
3) Jaafar bin Abi Talib
4) Zaid bin Harithah
5) Qaqa' bin Amru
6) Nukman bin Al-Muqarrin
7) Saad bin Abi Waqqas
8) Abu Ubaidah Al-Jarrah
9) Khalid bin Al-Walid
10) Amru Ibnu Al-Aas
11) Musa bin Nusair
12) Tariq bin Ziyad
13) Abdul Rahman Al-Ghafiqi
14) Yusuf Ibnu Tashfin
15) Salahuddin Al-Ayyubi
16) Sultan Bayazid
17) Timurlane
18) Sultan Muhammad Al-Fateh
19) Khairuddin Barbarossa
20) Syeikh Yusuf Makassar
21) Sultan Hasanuddin Makassar
22) Raja Haji Pulau Penyengat
23) Ahmad Shah Abdali
24) Omar Mukhtar
25) Syeikh Ahmad Yassin
No comments:
Post a Comment